“Sayyidina Abu Hurairah RA berkata bahawasanya Junjungan Nabi SAW telah menziarahi kubur ibunda baginda, lalu baginda menangis dan para sahabat yang ada bersama turut menitiskan air mata mereka. Kemudian baginda Nabi saw bersabda: ” Aku telah meminta izin daripada Tuhanku untuk beristighfar baginya, tapi Dia tidak mengizinkannya, lalu aku meminta keizinanNya untuk menziarahi kuburnya, maka aku dizinkan. Oleh itu ziarahilah kamu akan segala kubur kerana sesungguhnya perbuatan tersebut mengingatkan akan kematian.”
Tatkala kembali dari Thaybah menuju ke Makkah, di satu tempat bernama
Abwa`, kembalilah Sayyidah Aminah ra menghadap ke rahmatUllah. Beliau
meninggalkan Junjungan Nabi SAW yang ketika itu baru berusia 6 tahun.
Junjungan Nabi SAW tidak pernah lupakan ibunda baginda, baginda telah
meminta izin untuk menziarahi kubur bondanya itu dan telah diizinkan.
Perkara ini dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,
Imam Abu Dawud dan Imam an-Nasa-i rahimahumUllah sebagai berikut:-
“Sayyidina Abu Hurairah RA berkata bahawasanya Junjungan Nabi SAW telah menziarahi kubur bunda baginda, lalu baginda telah menangis dan para sahabat yang ada bersama turut menitiskan air mata mereka. Kemudian baginda bersabda: ” Aku telah meminta izin daripada Tuhanku untuk beristighfar baginya, tapi Dia tidak mengizinkannya, lalu aku meminta keizinanNya untuk menziarahi kuburnya, maka aku dizinkan. Oleh itu ziarahilah kamu akan segala kubur kerana sesungguhnya perbuatan tersebut mengingatkan akan kematian.”
Hadits ini kerap dinukilkan oleh segelintir manusia untuk memberikan
tanggapan bahawa ibunda Junjungan Nabi SAW itu adalah tergolong daripada
kalangan orang musyrik atau kafir yang menjadi penghuni neraka yang
dicegah kita memohon keampunan Allah bagi pihak mereka. Adakah pandangan
ini benar ?
Syaikh Manshur ‘Ali Naasif rahimahUllah, seorang ulama al-Azhar yang
disebut oleh Musnid Dunya Syaikh Yaasin al-Fadani dalam “al-Kawaakib
ad-Daraari ” halaman 376 sebagai gurunya, dalam karya beliau yang
masyhur “at-Taaj al-Jaami’ lil Ushuul fi Ahaadiitsir Rasul SAW”,
menyangkal pendapat tersebut. Beliau menuliskan penjelasannya itu pada
halaman 382 sebagai berikut:-
Ziarah Junjungan Nabi SAW akan kubur bonda baginda. Beliau adalah as-Sayyidah Aminah binti Wahb rahimahAllahu wa radhiya `anha. Ketika Junjungan Nabi SAW menziarahi kuburnya, baginda telah menangis kerana bondanya tidak sempat menemui zaman Islam dan menikmati nikmat Islam. Baginda tidak diberi keizinan untuk beristighfar bagi bondanya kerana Islam adalah syarat bagi membolehkan beristighfar baginya sedangkan bonda Nabi SAW telah wafat atas agama kaumnya sebelum Junjungan Nabi membawa syariat Islam. Akan tetapi ini tidak menafikan yang bonda Junjungan Nabi SAW akan memasuki syurga kerana sesungguhnya beliau termasuk dalam golongan ahlul fatrah dan jumhur ulama berpendapat bahawa mereka adalah golongan yang selamat daripada dimasukkan ke neraka, di mana Allah telah berfirman: “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul” – iaitu kepada setiap umat. Bahkan telah warid dan sahih di sisi para awliya` yang kasyaf bahawasanya Allah ta`ala telah menghidupkan ayahanda dan bonda Nabi SAW setelah baginda diutuskan menjadi rasul, lalu mereka berdua telah beriman dengan baginda SAW. Maka dari itu, jadilah keduanya daripada golongan ahli syurga dengan pasti. Sebahagian ulama telah bersyair menyatakan:-
Telah kuyakini bahwa ayah bonda Junjungan Nabi
Dihidupkan Tuhan al-Karimul Bari
Atas kebenaran kerasulan baginda mereka bersaksi
Maka kejadian sedemikian tadi
Adalah suatu kemuliaan bagi Pilihan Allah Baginda Nabi
Justru sesiapa yang mendhaifkan akan khabaran ini
Maka dia yang lemah lagi dari hakikat berlepas diri
Dan hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan pelik untuk diterima akal,
karena sesungguhnya anugerah Allah itu luas dan permuliaanNya kepada kekasihNya adalah tersangat murah lagi luas,
Allahu a’laam.
Oleh itu, amatlah penting untuk kita merujuk kepada para ulama yang
muktabar dalam ikhtiar kita memahami sesuatu ayat al-Quran al-Karim atau
al-Hadits asy-Syarif. Sentiasalah melihat akan kelemahan diri kerana
dengan begitu kita akan sentiasa tawadhu dengan para ulama yang tentu
lebih alim daripada kita yang baru belajar ini serta dapatlah kita
memahami segala ajaran Islam menurut pandangan para pakarnya dan
tidaklah kita meraban mengkhinzir buta.
.
wallahu a’lam
Tidak ada komentar:
Posting Komentar